Sabtu, Februari 27, 2010

Sambutan Maulidur Rasul 1431H

Muhammad SAW seorang insan berkeperibadian sangat mulia. Sejak mula kelahiran baginda lagi, baginda telah banyak melakukan pengorbanan terhadap umatnya yang tercinta. Keteguhan hati terhadap ajaran Islam memberi pengertian yang sangat besar kepada semua manusia khususnya umat Islam. Panitia Pendidikan Islam & Bahasa Arab serta Badan Dakwah & Rohani dan dengan kerjasama Masjid al-Imam al-Ghazali telah mengambil inisiatif untuk memberi penghayatan mengenai riwayat hidup baginda Muhammad SAW. Bertepatan dengan tema Maulidur Rasul 1431H, Cinta Rasul, pelbagai aktiviti telah dijalankan dalam usaha memupuk semangat cintakan junjungan besar Muhammad Rasulullah SAW. Sambutan ini telah diadakan pada 25 Februari 2010 bersamaan 11 RabiulAwal 1431H.

Perhimpunan pagi di Dataran Perhimpunan

Seawal jam 7.30 pagi, semua pelajar telah berkumpul di Dataran Perhimpunan bersama-sama sepanduk mereka mengikut tingkatan masing-masing. Ketibaan Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa & Guru, Dato’ Hj. Nasrudin Hj. Ali dengan diiringi oleh Pengetua SMK Agama Kuala Lumpur, Tuan Hj. Sakijan b. Muri serta para guru tercinta disambut meriah. Antara tetamu lain yang hadir adalah Jawatankuasa Masjid al-Imam al-Ghazali. Kemudian, nasyid al-Asma ul-Husna dan lagu Badan Badan Dakwah & Rohani dinyanyikan sebelum ucapan aluan oleh Yg. Bhg. Dato’ Nasrudin. Ustaz Hamdi pula telah mengetuai bacaan Selawat sebelum perarakan bermula.

Perarakan keluar pelajar

Majlis diteruskan dengan perarakan keluar para guru bersama pelajar mengikut kotinjen tingkatan diiringi paluan kompang oleh pasukan kompang Tingkatan 5. Dengan diawasi beberapa anggota polis trafik, para pelajar terus berarak menuruni bukit melalui Jalan 3/63 sambil berselawat keatas baginda Muhammad SAW. Atas kerjasama BADAR dan Badan Pengawas Sekolah, disiplin pelajar dikawal ketat sejak mula perarakan sehinggalah melalui Jalan 12/62 dan Jalan 3/62. Alhamdulillah, cuaca pagi tersebut sangat baik dan adakalanya sedikit terik. Namun, sedikitpun tidak melunturkan semangat para guru dan pelajar untuk terus berarak sambil berselawat.

Turut serta (dari kiri) wakil Jabatan Pelajaran WP, Yg. Bhg. Dato' Nasrudin dan Tuan Pengetua

Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar dan Banin Tingkatan 5 mengetuai perarakan

Perarakan pelajar diiringi Jawatankuasa BADAR (berbaju hitam) dan Pengawas (berbaju biru)

Sebelum memasuki kawasan sekolah, para pelajar juga sempat melaungkan Doa Wahdah dengan bersemangat sepertimana yang dilakukan oleh tentera Islam didalam perang suatu ketika dahulu. Perarakan masuk semua kotinjen sekali lagi diiringi paluan kompang sambil melagukan selawat Nabi. Perarakan tersebut tamat kira-kira jam 8.50 pagi di Dataran Perhimpunan. Dalam masa yang sama, barisan kehakiman telah mula mengambil markah bagi Pertandingan Sepanduk yang terbahagi kepada dua kategori iaitu, kategori Putera dan Kategori Puteri. Setelah beberapa minit mengadili, semua pelajar dibenarkan berehat selama 35 minit.

Paluan kompang iringi perarakan keluar dan masuk pelajar

 
Temuramah bersama EduwebTV

Jam 9.30 pagi, semua pelajar berkumpul di Dewan Sri Bestari untuk sesi kedua Sambutan Maulidur Rasul 1431H. Ketibaan penceramah jemputan serta tetamu kehormat disambut dengan alunan Selawat. Majlis yang dipengerusikan oleh Ustaz Hamdi dimulakan dengan bacaan Ummul Kitab dan tazkirah ringkas. Kemudian, majlis diteruskan dengan persembahan Qasidah daripada tetamu jemputan, para pelajar dibawah Yayasan Sofa, Negeri Sembilan. Alunan merdu tersebut telah berjaya menarik perhatian semua hadirin yang hadir. Seterusnya, sebuah ceramah khas Maulidur Rasul telah disampaikan oleh wakil Yayasan Sofa, al-Fadhil Ustaz Salahuddin Azrai. Ceramah yang disampaikan beliau begitu menyentuh perasaan apabila beliau banyak menceritakan mengenai riwayat kehidupan Rasulullah serta keperibadian baginda SAW. Beliau juga turut menceritakan pengorbanan Rasulullah terhadap umat baginda yang begitu dicintainya.

Persembahan Qasidah dari pelajar Yayasan Sofa, Negeri Sembilan

Setelah selesai ceramah, Tuan Pengetua sebagai wakil SMK Agama Kuala Lumpur telah menyampaikan cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada Yayasan Sofa. Majlis tersebut diakhiri dengan bacaan Tasbih Kaffarah dan surah al-Asr. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang telah melancarkan perlaksanaan Sambutan Maulidur Rasul sejak awal perancangannya lagi. InsyaAllah, Karnival Ihya’ Sunnah pula akan menyusul sebagai kesinambungan daripada Sambutan Maulidur Rasul 1431H. Diharapkan dengan perlaksanaan aktiviti-aktiviti kerohanian seperti ini mampu untuk melahirkan rasa cinta kita terhadap junjungan besar Muhammad Rasulullah SAW sekaligus meneruskan perjuangan baginda didalam menegakkan kalimah agung La ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah.

0 komen: