Sabtu, September 18, 2010

~HIKMAH AIDILFITRI~

Bismillahirrahmanirrahim

Puji dan syukur itu hanya ke hadrat Allah yang menguasai langit dan bumi, daratan dan lautan, bahkan seluruh jumantara alam ini. Dia yang mengurniakan nikmat dan rezeki, hikmat dan kebijaksanaan buat warga dunia dalam menyusuri sebuah denai bernama “kehidupan.” Segala pengabdian dan keserahan selayaknya milik Allah semata. Selawat dan kasih juga buat Junjungan Rasul tercinta; tidak pernah jemu dan lelah membimbing umat ini cara pendakian ke syurga, agar kelak kita dapat bersama-sama menghirup dingin dan enaknya secangkir minuman dari telaganya.

Alhamdulillah, kita masih lagi diberi nafas buat menyedut udara segar hari raya yang penuh keberkatan. Hari ini sewajarnya didendangi dengan alunan hamdalah sebagai tanda kesyukuran kita kepada-Nya. Sebagaimana yang dinukilkan oleh Ar-Rahman dengan firman-Nya:

“Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman supaya dia bersyukur kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”

Hari raya merupakan hari kebesaran orang Islam. Ia diraikan sebagai hari kemenangan kita dalam menewaskan hawa nafsu dan perkara-perkara keji dalam tempoh sebulan Ramadan yang baru berlalu. Justeru, umat Islam telah diperintahkan untuk membesarkan hari ini dengan cara keluar beramai-ramai menunaikan sembahyang hari raya. Sabda baginda Nabi:

Diriwayatkan daripada Ummi ‘Atiyyah r.a., katanya: “Kami telah diperintahkan supaya keluar pada hari raya sehinggakan anak-anak pingitan dan diperintahkan juga wanita-wanita yang sedang haid supaya keluar, lalu berada di belakang kaum lelaki dan bertakbir mengikut takbir mereka serta berdoa dengan doa mereka dengan mengharap keberkatan pada hari raya serta kesuciannya.”

Bergelar seorang mahasiswa, kita seharusnya menyambut Aidilfitri ini dengan suasana penuh intelek dan adab. Hal ini kerana gelaran ‘mahasiswa’ itu sendiri telah meletakkan kita pada suatu taraf keilmuan yang tinggi. Perkara ini tidak harus dipandang enteng kerana segala kekhilafan dan salah tingkah yang kita lakukan akan terus mencorak pemikiran dan persepsi masyarakat terhadap mahasiswa secara keseluruhannya. Sebagai contoh, seorang mahasiswa haruslah tidak menyambut Aidilfitri ini sebagai seorang hedonis. Meskipun diakui bahawa darah muda sentiasa terpikat pada fenomena penuh hiburan, namun bukanlah dengan cara melolong, melakak dan berdansa sehingga mengkesampingkan nilai-nilai Islam dan adat-adat ketimuran yang penuh sopan dan adab. Ia bukan selayaknya dilakukan oleh seorang mahasiswa yang memiliki ilmu yang tinggi.

Seorang mahasiswa yang menanam ilmu di dadanya ialah seseorang yang mempraktikkan adab dan akhlak seperti yang disarankan oleh al-Quran. Ketibaan Aidilfitri disambut penuh syukur dan keinsafan, sopan-santun dan berkasih sayang. Allah berfirman dalam Surah al-Nahl, ayat 90:

“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

Mahasiswa yang memerhati serta menghayati firman Allah ini pasti akan memenuhi detik-detik Aidilfitri dengan sentiasa berbuat kebaikan kepada kaum keluarga, tolong-menolong pada hari raya, bersedekah kepada orang yang memerlukan meski kepada kanak-kanak yang berkunjung ke rumah semata-mata menuntut duit raya, serta dalam masa yang sama tidak lalai dan leka dengan hiburan-hiburan yang mengalpakan, bahkan juga tidak mengikut hawa nafsu, terutamanya nafsu makan yang sentiasa memuncak ketika menghadap sajian yang enak dan lazat.

“Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” Al-A’raf: 31

Justeru, hiasilah Aidilfitri yang berkunjung sekali dalam setahun ini dengan amalan-amalan yang bermanfaat. Pulanglah ke kampung berhari raya bersama keluarga dan saudara-mara bagi mengeratkan silaturrahim. Walau sesibuk mana pun kita, usahlah menjadikan kesibukan itu sebagai alasan, kerana Rasulullah sendiri menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga dan sahabat-handai baginda, sedangkan baginda merupakan orang yang lebih sibuk; sebagai utusan Allah dan seorang pemimpin negara. Apatah pula kita yang hanya menyandang jawatan-jawatan kecil di kampus sahaja?

Untuk akhirnya, nikmatilah Hari Raya Aidilfitri ini sebagai suatu tanda kemenangan kita menewaskan hawa nafsu dalam Ramadan yang telah berlalu. Semoga kunjungannya kali ini menjadikan kita sentiasa insaf dan bermuhasabah serta lebih bersyukur.

Khamis, September 16, 2010

BINGKISAN DOA

SEKIRANYA KITA CINTA KEPADA MANUSIA,
TAK SEMESTINYA MANUSIA CINTA KEPADA KITA,
TETAPI SEKIRANYA KITA CINTA KEPADA ALLAH,
NESCAYA CINTA ALLAH TIADA PENGHUJUNGNYA.
SEKIRANYA KITA CINTA KEPADA MANUSIA,
KITA AKAN CEMBURU KEPADA ORANG YANG MENCINTAI
ORANG YANG KITA CINTAI,
TETAPI SEKIRANYA KITA CINTA KEPADA ALLAH,
KITA AKAN TURUT MENCINTAI
ORANG YANG MELABUHKAN CINTANYA KEPADA ALLAH JUGA.
YA ALLAH,
ANDAINYA DIA ADALAH JODOH YANG DITETAPKAN
OLEH-MU KEPADAKU,
MAKA CAMPAKKANLAH DALAM HATIKU CINTA KEPADANYA ADALAH
KERANA-MU,
DAN CAMPAKKANLAH DALAM HATINYA,
CINTA KEPADAKU ADALAH KERANA-MU.


NAMUN,
ANDAINYA DIA BUKANLAH JODOH YANG DITETAPKAN OLEH-MU KEPADAKU,
BERIKANLAH KU KEKUATAN AGAR PASRAH DALAM MENGHARUNGI UJIAN,
YANG KAU BERIKAN KEPADAKU.


YA ALLAH,
JIKA AKU JATUH CINTA,
CINTAKANLAH AKU PADA SESEORANG YANG MELABUHKAN CINTANYA PADA-MU, AGAR BERTAMBAH KEKUATANKU UNTUK MENCINTAI-MU.


YA MUHAIMIN,
JIKA AKU JATUH CINTA,
JAGALAH CINTAKU PADANYA AGAR TIDAK MELEBIHI CINTAKU PADA-MU.


YA RABBANA,
JIKA AKU JATUH HATI,
JAGALAH HATIKU PADANYA AGAR TIDAK BERPALING PADA-MU.


YA RABBUL IZZATI,
JIKA AKU RINDU,
RINDUKANLAH AKU PADA SESEORANG YANG MERINDUI SYAHID DI JALAN-MU.


YA ALLAH,
JIKA AKU RINDU,
JAGALAH RINDUKU PADANYA AGAR TIDAK LALAI AKU MERINDUI SYURGA-MU.


YA ALLAH,
JIKA AKU MENIKMATI CINTA KEKASIH-MU,
JANGANLAH KENIKMATAN ITU MELEBIHI KENIKMATAN INDAHNYA BERMUNAJAT DI SEPERTIGA MALAM TERAKHIR-MU


YA ALLAH,
JIKA AKU JATUH HATI PADA KEKASIH-MU,
JANGANLAH BIARKAN AKU TERTATIH DAN TERJATUH DALAM PERJALANAN PANJANG MENYERU MANUSIA KEPADA-MU.


YA ALLAH,
JIKA KAU HALALKAN AKU MERINDUI KEKASIH-MU,
JANGAN BIARKAN AKU MELAMPAUI BATAS SEHINGGA MELUPAKAN AKU PADA CINTA HAKIKI DAN RINDU ABADI HANYA KEPADA-MU.
Mati hanya sekali jadikannya pada jalan Allah,

Selasa, September 14, 2010

aku XX, kau XY

Kita takkan pernah sama
Baik sekepala, mahupun satu rasa.
Apatah lagi untuk punya satu hati, satu jiwa.

Sebab sudah terbukti kita telah berbeza dari segi jenis kromosom nya

Aku XX manakala engkau XY.
Masakan kita boleh sama?

Aku dikatakan kuno,
Hanya kerana diriku mempertahankan apa yang kufahami dari agama aku.
Aku diperlakukan olehmu seolah-olah aku sudah ketinggalan zaman,
hanya semata apa yang aku perjuangkan selama ini.

Engkau katakan aku tidak matang, perlakuanku seperti anak kecil,
hanya kerana bila aku tidak mahu menuruti kemahuanmu.

Aku diperkatakan oleh engkau sebagai seorang perempuan yang berfikiran tertutup,
tidak 'world' dan kononnya aku ini perempuan berlagak baik
kononnya aku ini 'jual mahal'

Namun, aku tidak akan boleh menghalangmu dari berfikiran sebegitu,
kerana ku tahu engkau mungkin tidak tahu
kerana aku tahu engkau mungkin belum faham.

Aku mahu engkau ketahui tentang keadaan diriku
Diriku telah dididik oleh Tuhanku dengan pendidikan tak terkira hebatnya
Diriku yang telah dijaga seperti menatang minyak yang penuh oleh emak dan ayah,
ditarbiyah oleh para guru tercinta
supaya menjaga maruahku
Supaya memelihara kehormatan diriku.
Supaya aku dapat menjadi wanita yang tegas dalam mempertahankan prinsipnya

Prinsip tetap prinsip
Syariat tetap syariat

Bahawa lelaki dan perempuan itu takkan punya alasan untuk ada perkaitan
melainkan bila ada urusan, melainkan keadaan sangat-sangat darurat
melainkan keadaan sangat-sangat memerlukan untuk kita berhubungan.


Antara aku dan engkau, tidak akan punya ikatan
takkan boleh ada hubungan antara hati-hati
melainkan bila takdir Tuhan menetapkan bahawa kita bakal disatukan.

Benar, hanya itu yang benar-benar halal
buat diriku dan dirimu jua.


Oh ya, aku telah lama menetapkan bahawa antara kita punya jurang yang sangat luas
antara kita punya hijab fizikal yang sudah aku tanam sejak sekian lama
Dan bila ku dapati hijab luaran ini semakin teguh berdiri,
maka hatiku juga sudah terhijab dengan sendirinya

Benar, hatiku telah terhijab agar tidak punya sebarang hubungan dengan dirimu

Kerana aku sudah faham,
maka ku harap suatu hari nanti engkau dapat memahaminya juga

Kerana aku mahu mencintai Dia dahulu, utamakan Dia dahulu
Kerana aku lebih mahu mendahulukan Tuhanku melebihi yang lain.

copy-pasted from : here

Jumaat, September 10, 2010

Amalan menyambut Hari Raya Aidilfitri

Salam Aidilfitri,

Al-Imam As-Shafie membahaskan dalam kitabnya, Al-Umm (Ibu) menceritakan amalan-amalan baik yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan golongan-golongan ulama serta para solihin, diringkaskan bahawa terdapat 10 amalan iaitu persediaan ketika dan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri. Amalan-amalan ini adalah seperti berikut:-

1) Kita digalakkan berdoa ketika malam raya, ambillah kesempatan dan doalah sepanjang malam raya supaya diterima amalan-amalan kita sepanjang bulan puasa yg baru sahaja berlalu. Lupakan persiapan raya kerana sepatutnya kita mesti bersedia lebih awal bukan menunggu saat-saat malam raya kerana waktu doa mustajab salah satunya ialah pada malam Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji. Subhanallah.

2) Takbir raya. Memuji kebesaran Allah SWT  setelah memberi nikmat dan ganjaran yang terlalu besar sepanjang Bulan Ramadhan dengan datangnya Lailatul Qadar. Takbir raya lah semampu mungkin sebagai tanda kesyukuran kepada nikmat  yang dikurniakan oleh Allah SWT.

3) Mandi sunat hari raya Aidilfitri. Kita digalakkan mandi solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan disunatkan bercukur (bulu ketiak, ari-ari, kemaskan misai dsb) supaya kita kelihatan cantik, kemas dan bersih menghadap Allah SWT.

4) Memakai wangi-wangian. Rasulullah SAW memakai wangi-wangian ketika menunaikan solat sunat Hari Raya dan digalakkan memakai pakaian yang cantik-cantik jika kurang mampu eloklah sekadar ianya bersih dan cantik dipandang.

5) Makan sedikit dalam angka yang ganjil. Rasulullah SAW memakan sedikit buah tamar (atau kurma) sebelum keluar ke masjid dan diriwayatkan dalam angka yang ganjil iaitu 3 biji. ianya sebagai syarat kita sudah tidak berpuasa lagi pada hari raya. Jika tiada, minumlah sedikit air.

6) Mengucapkan salam dan selamat kepada orang islam sepanjang perjalanan ke masjid dan sepanjang hari raya. Ucaplah "Taqabbalallah huminna waminkum" Semoga Allah menerima doa aku dan kamu, supaya Allah menerima doa-doa kita sepanjang bulan Ramadhan.

7) Pergi dan pulang dari masjid menggunakan jalan yang berbeza. Ianya supaya dapat mengeratkan silaturrahim sesama Islam kerana kita dapat bertemu dengan rakan-rakan dan saudara-saudara lain jika kita menggunakan jalan yang berbeza, maka bertambah ramai lagilah yang kita berjumpa dan ucap salam dihari mulia itu.

8) Menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Bawalah bersama ahli keluarga untuk sama-sama menunaikan solat ini, alangkah ruginya bagi mereka yang menunaikan solat sunat ini namun meninggalkan khutbah Hari Raya seolah-seolah tergantung solatnya antara langit dan bumi. Apa salahnya menunggu seketika demi merebut ganjaran yang dikurniakan Allah SWT.
 
9) Ziarah menziarahi. Kunjungilah ahli kelurga, jiran tetangga, sanak-saudara, kaum kerabat, sahabat handai dan sesiapa saja samada kawan mahupun lawan. Keberkatan pada Hari Raya insyaAllah yang lawan menjadi lawan, yang keras menjadi lembut, yang tertutup menjadi buka. Pohonlah kemaafan sesama manusia kerana Allah tidak akan mengampunkan kesalahan yang dilakukan sesama manusia walaupun Allah sentiasa memaafkan dosa-dosa hambanya yang zalim jika mereka memohon keampunanNya.

10) Puasa 6 pada bulan Syawal. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud sesiapa yang berpuasa sebulan di bulan Ramadhan dan diikuti puasa 6 hari dibulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. Subhanallah.

Semoga ringkasan kitab mengenai 10 amalan iaitu persediaan ketika dan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri memberi manfaat kepada kita semua sebagai persediaan kita menghadapi dan menyambut Hari Raya Aidilfitri. InsyaAllah. Sebar-sebarkanlah demi melahirkan umat islam yang berpegang teguh pada Allah dan beramal dengan sunnah Rasulullah SAW. Wassalam.

Ramadhan berlalu, Syawal menjelma=)

Allahuakbar!




Taqabbalallahu minna wa minkum...

Selasa, September 07, 2010

A story to ponder=]

Bismillah,

Ada seorang guru tadika yang tak percaya wujudnya Tuhan. Dia pun berfikir bagaimana hendak mempengaruhi kanak-kanak tadika tersebut supaya tak percaya wujudnya Tuhan. Tiba-tiba, dia mendapat satu akal..
Guru tadika bertanya : Anak-anak nampak tak pen ini?(sambil menunjukkan pen tersebut)
Murid-murid menjawab : Nampak cikgu.
Guru tadika bertanya : Pen ada kan?
Murid-murid menjawab : Ada cikgu.
Kemudian guru tadika tadi masukkan pen itu ke dalam poket dia dan kemudian bertanya lagi...
Guru tadika bertanya : Anak-anak nampak Tuhan tak?
Murid-murid menjawab : tak nampak cikgu.
Guru tadika bertanya lagi : Tuhan ada tak?
Murid-murid menjawab : tak ada cikgu.
Guru tadika itu sangat gembira kerana tujuannya untuk mempengaruhi kanak-kanak itui berjaya. Tetapi..dalam kumpulan kanak-kanak itu ada seorang budak yang pintar yang bernama Abas lalu dia pun mengangkat tangan..
Abas bertanya : Kawan-kawan nampak cikgu tak?
Murid-murid menjawab : nampak
Abas bertanya : cikgu ada kan?
Murid-murid menjawab : ada
Abas bertanya lagi : Kawan-kawan nampak otak cikgu tak?
Murid-murid menjawab : tak nampak
Abas bertanya : cikgu ada otak tak?
Murid-murid menjawab : tak ada
Akhir kata marilah sama2 kita berusaha untuk melahirkan generasi yang terbaik untuk masa depan Islam.
http://mujahidahcpnfz.blogspot.com/