Jumaat, April 30, 2010

UKHUWAH = PERSAUDARAAN



Aku membicarakan perihal ukhuwah dalam skala yang lebih besar. Manusia, sering melihat bahawa ukhuwah itu hanya terbatas kepada hubungan antara dua manusia sahaja. Tetapi, ukhuwah yang sebenarnya adalah, tidak terbatas kepada manusia sahaja, dan tidak semestinya dengan orang yang kita kenal semata.

     Bila kita merujuk kembali berkenaan ukhuwah, kita akan dapat melihat bahawa, ukhuwah yang baik itu tidak dapat tidak adalah dibina daripada keimanan yang benar kepada Allah SWT. Hal ini kerana, serendah-rendah ukhuwah adalah bersangka baik kepada sahabat kita. Perkara itu, yakni bersangka baik itu tidak akan sekali-kali dapat kita capai, melainkan kita mempunyai keimanan yang mantap kepada Allah SWT, dan  meyakini bahawa Allah SWT tahu apa yang kita simpan dalam hati kita. Maka, tidak akan tergerak di dalam jiwa kita untuk bersangka buruk kepada sahabat.


     Melihat pula kepada tingkatan tertinggi ukhuwah, yakni ithar, ataupun melebihkan sahabat berbanding diri sendiri. Perkara ithar ini, tidak akan mampu disentuh oleh manusia, melainkan dengan keimanan yang benar juga. Hal ini kerana, ithar itu secara sindirinya berdiri atas pengorbanan. Melebihkan orang lain daripada diri sendiri adalah satu taudhiah. Manusia, biasanya sukar untuk membalas pengorbanan manusia lain kepada dirinya, dengan balasan yang setimpal. Justeru, keimanan kita kepada Allah SWT, meyakini bahawa Allah SWT yang akan membalas kebaikan kita akan membuatkan kira tegar untuk melebihkan sahabat kita dalam apa perkara sekalipun.

     Kita perlu sedar bahawa, kita membina ukhuwah sebagai menyahut perintah Allah SWT yang menyatakan bahawa semua orang yang beriman itu bersaudara.

     Allah SWT berfirman yang bermaksud:
  
     "Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara, maka perdamaikanlah dua saudara kamu yang bertelagah, dan bertakwalah kamu kepada Allah, moga-moga kamu mendapat rahmat."
(Surah al-Hujurat 49:10)

     Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:

     "Tidak beriman seorang kamu itu melainkan dia mencintai sahabatnya, sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri."
(Riwayat al-Hadis)

     Simfoni ukhuwah ini tidak lagi dimainkan dalam kehidupan masyarakat hari ini. Jangan kata melebihkan orang lain, hatta bersangka baik pun sudah hancur dimamah hasad dan bersangka-sangka. Tanpa ukhuwah, tidak akan terbina kesatuan ummah. Bila tidak bersatu, maka ummah akan runtuh dengan mudah.


     Sepatutnya umat Islam hari ini memandang sejarah lama dan mengambil pengajaran. Lihatah bagaimana bijaknya penjajah Barat, meruntuhkan khalifah Islam. Mereka memecahbelahkan hubungan antara orang beriman ini dengan sempadan. Akhirnya, daripada situ muncullah masyarakat yang sama dalam keimanannya, tetapi mementingkan diri masing-masing sahaja, tanpa ada rasa persaudaraan yang benar kepada saudara seimannya yang lain, walau bersebelahan negara.

     Sebab itu, bila kita bicarakan tentang kebangkitan Islam, mahu atau tidak, kesatuan itu perlu dibina. Perlu ada kelompok manusia yang benar-benar faham maksud ukhwah ini, dan menterjemahkannya dalam kehidupan mereka. Ukhuwah yang berdiri di atas keimanan yang jelas, akan mewujudkan kekuatan yang tidak terjangka.

     Lihat sahaja bagaimana 313 orang Muslimin mampu menumbangkan 1000 orang musyrikin Makkah dalam peperangan Badar. Mereka tidak mampu jika hubungan yang mantap dan saling percaya-mempercayai tiada.

    
     Aku berkongsi kisah sebelum peperangan Badar, di mana Rasulullah SAW menyatakan bahawa orang Ansar boleh pulang ke Madinah, memandangkan perjanjian mereka dengan Rasulullah SAW adalah untuk melindungi Baginda di dalam Madinah, bukan di luar. Tetapi salah seorang sahabat Ansar berkata:

     "Ya Rasulullah, kami tidak akan mengatakan kepada kamu sebagaimana Bani Israel menyatakan kepada Musa. Pergilah kau dengan Tuhan kau berperang dan kami akan menunggu hingga kau menang. Tetapi ya Rasulullah, kami akan berkata kepada kamu, 'Pergilah kau dengan Tuhan kau berperang, dan kami akan bersamamu!'"

     Seseorang itu sanggup bergadai nyawa, kalau bukan kerana kasih sayang sudah mendalam merasuk di jiwa? Apakah siraman yang boleh menyuburkan benih ukhuwah ini? Itulah dia iman kepada Allah SWT. Percayalah bahawa, Allah SWT akan membalas pengorbanan kita dalam ukhuwah ini.

    
     Ukhuwah, bukan juga hanya untuk mereka yang seangkatan, sebaya dan sebagainya. Aku mengambil contoh tenaga pengajar di SMKA Kuala Lumpur dan pelajar-pelajar sekolah ini. Aku menyatakan bahawa, tenaga pengajar dan pelajar-pelajar turut perlu menjalinkan ukhwah. Tenaga pengajar dan pelajar-pelajar perlu berkenalan, faham-memahami dan sayang-menyayangi. Masing-masing perlu lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Pelajar-pelajar memerlukan tenaga pengajar untuk menjaga dan mendidik mereka. Tenaga pengajar, memerlukan anak-anak ini untuk meneruskan cita-cita mereka pada masa akan datang.

     Begitu juga suami dengan isteri, ibu bapa kepada anak-anak, kita kepada jiran, malah kita kepada orang bukan Islam juga perlu pada hubungan ikhlas ini. Islam itu syumul, dan kita perlu tonjolkan kesyumulan ini dalam kehidupan kita. Tetapi siapakah yang nampak bahawa hubungan mereka dengan pasangan dan anak-anak mereka satu ukhuwah? Kadang-kadang kita pandang rendah dengan taraf isteri dan anak-anak. Kita sangka, bila jadi ketua keluarga, maka yang lain adalah pengikut semata-mata.

     Ini adalah konsep yang salah.

     Semua kita adalah sama, dan yang membezakan kita adalah takwa. Sepatutnya, kita perlu saling melengkapi, untuk mempertingkatkan takwa ini sebenarnya.

     Allah SWT berfirman yang bermaksud:

     "Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu bermasyarakat dan berpuak-puak, agar kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya yang termulia daripada kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling tinggi takwanya."
(Surah al-Hujurat 49:12)

     Kita juga perlu menjalinkan ukhuwah dengan alam. Menyayangi alam dan menjaga mereka dengan tidak mencemari mereka. Hal ini kerana, kita lengkap-melengkapi dengan alam. Kita memerlukan mereka untuk memberikan kita kehidupan yang kondusif. Kita perlukan udara segar untuk hidup. Dan mereka memerlukan kita untuk menjaga mereka.

    
     Perlu diingatkan juga bahawa, dalam ukhuwah, bukan semuanya manis. Ukhuwah akan diuji. Ukhuwah antara manusia akan digegarkan dengan pelbagai cubaan. Syaitan tidak sukakan kesatuan. Maka penderhaka kepada Allah ini akan berusaha untuk meruntuhkan kesatuan yang terwujud antara hati manusia.

     Maka, dengan keimanan yang mantap sahaja, ukhuwah akan dapat dijaga. Hal ini kerana, syaitan tidak akan mampu menghampiri mereka yang ikhlas dalam menjaga hubungannya. Sebab itu, kita tidak berukhuwah hanya kerana harta, rupa paras atau keturunan. Kita berukhuwah kerana itu adalah perintah Allah SWT. Kita berukhuwah untuk mencapai keredhaan Allah SWT sahaja!

~diadaptasi daripada penulisan Saudara Hilal Asyraf

Sabtu, April 24, 2010

kerana dakwah ini kita tanggung bersama

Semoga kelak akan lebih banyak karya-karya islami yang berkualiti akan lahir daripada jiwa-jiwa yang beriman. =)

kerana dakwah ini KITA tanggung bersama
Oleh: Izzat Hafifie
syukur kepadamu Ilahi
dengan izinmu kami disini
tidak kami berbangga diri
menyerah hidup sebagai daie

daie itu bukan gelaran
bukan juga beban
tapi fitrah hidup insan
yang mengenal kehendak Tuhan

menjadi pemimpin bukannya mudah
bila yang dipimpin banyak karenah
namun ini kukira amanah
atas rezekimu yang melimpah ruah

jadilah kalian,
pemimpin yang beraqidah mapan,
berakhlak ikutan,
tajam akal fikiran,
tinggi kesabaran,
kuat tubuh badan,
dan amanah dalam pekerjaan.

sungguh islam dibina atas hujah,
bukan taklid buta semata.

biar hidup tidak berharta,
tapi cukup bekal membeli syurga,
biar hidup dihina manusia,
tapi darajatnya tinggi disisi yang Esa.

sungguh islam bukan lemah,
islam adalah agama dakwah,
umat islam adalah qudwah.

tegakkanlah kebenaran,
walaupun ia tidak menyebelahi kalian,
berkatalah benar,
walaupun tidak dibenar

sedikit bukan bermakna kalah,
sedikit bukan bermakna lemah,
pelik bukan bermakna salah,
muda bukan bermakna mentah.

wujudkan suatu biah,
yang berpaksi Al-Quran dan Sunnah,
agar islam bukan lagi fitnah,
dan agama hanya milik Allah,
ikhlaskan niat ikut Rasulullah,
agar usaha dinilai ibadah.

rapatkan saf semangat jangan goyah
kota yang telah roboh harus dibina semula
jangan kau gentar pada bayang-bayang sendiri
di sebalik pahit getir kemenangan menanti

kemenangan itu sudah pasti
namun bila tidak diketahui
mungkinkah ia tujuh generasi
mungkin juga menuntut mati

mari disusun kaki biar rapat
agar ditolak tidak jatuh
angin ribut kekal utuh
patah sayap bertongkat paruh

kalau berjalan biar seirama
dibelakang mengejar didepan menunggu
kalau berlari biar bersama
agar terasa nikmat bersatu

medan kita mungkin berbeza
tapi tempat tuju kita sama
di cubit kiri kanan terasa
kerana dakwah ini KITA tanggung bersama…
.
Kuatkan Iman Tingkatkan Amal

Graduasi F5 2009

Bismillah Al-Quddus As-Salam

Video ini merupakan trailer Majlis Graduasi pelajar F5 SMK Agama Kuala Lumpur tahun 2009. Majlis ini diadakan pada 17 April 2010. Semoga para alumni smkakl mengamalkan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan dan akan menabur jasa kepada agama, bangsa dan negara (termasuk sekolah yang tercinta) =)

.

.
Video dihasilkan oleh AJK Multimedia iaitu Azri, Syukri dan Huda. Tahniah diucapkan.

Ahad, April 18, 2010

Tetap Di Sisi

Semuanya hadir pada tempatnya
Semuanya berlalu pada tempatnya

Ya Tuhan, sebenarnya telah lama kucari
Suara kekasihmu yang sarat
Ke mana jatuhnya gema itu?
Di manakah tempat istirehat?
Setelah pengembaraan yang penat
Di manakah telah kau karamkan
Pertemuan matahari, rimba dan lautan?

Aku kini masih tercari-cari
Dalam setiap liku
Berikanlah aku petunjuk
Aku rindu kamu, ya Rasulullah
Aku ingin melihatmu
Kau membawa cahaya
Senja ini sekali lagi meninjau
Dengan lusuh catatanmu
Angin sedang cuba mengoyak-ngoyakkannya lembar-lembar sunnahmu
sedang aku belum ketemu
surat yang dituliskan padaku

Aku masih ingat!
Walau dicaci dan dihina
Kau tetap berdiri
Di dunia yang fana ini
Dada sebak
Titis air yang mengalir
Realiti, kau telah menggoncang dunia

Kini aku menari tiada bergerak

Kiranya angin dapat kugenggam
Kubawa sujud di telapakMu
Kerana kagum dengan kekasihMu
Alunan merdu sifatmu, cintamu
Menari-nari dalam duniaku
Sesungguhnya-sesungguhnya

Kini, aku sedih
Diktator durjana meniup buih-buih siksa
Atma berjiwa menjadi mangsa
Salur pembuluh kian rapuh
Iman kian runtuh
Hanya tinggal bangkai bernyawa
Menabur duri dalam dunia
Ya Rabbana

Karya asli; Darwis Haikal, 5 Othman 2010

Sabtu, April 17, 2010

Kenapa dinamakan usrah?

Tarbiah bermaksud pendidikan.
Murabbi adalah pendidik.
Mutarabbi adalah anak anak didik.
Manhaj tarbiah adalah Islam.
Wasilah utama murabbi untuk mentarbiah mutarabbinya adalah usrah.

Usrah dalam bahasa arab bermaksud keluarga.
Keluarga adalah institusi utama dalam pendidikan anak-anak.
Ibu bapa adalah pendidik yang utama bagi anak-anak.
Ibu bapa mendidik anak-anak mereka tentang Islam.
Ibu bapa mendidik anak-anak dengan penuh perasaan kasih sayang.

Dulu ... para bapa (baca para sahabat) dan para ibu (baca para sahabiyah) berkahwin dan melahirkan anak serta mendidik anak anak mereka dengan didikan Islam sehingga menjadikan mereka rijal-rijal. Rijal-rijal inilah yang menjadi Qa'idah Sulbah kepada kebangkitan dan penyebaran Islam ke seluruh dunia.

Kini ... para ibu bapa tidak lagi (kecuali yang mendapat rahmat Allah swt) dapat mendidik anak-anak mereka untuk menjadi rijal-rijal tersebut. Bahkan, mereka sendiri tidak dapat menjadikan diri mereka sebagai rijal. Atas pelbagai sebab dan alasan serta keadaan.

Lalu ... didatangkan para murabbi yang sedar dan bergerak serta sanggup berkorban, memberikan alternatif kepada proses pendidikan anak-anak di dalam program-program tarbiah mereka. Untuk anak-anak yang tiada ikatan darah dengan mereka, akan tetapi mempunyai ikatan yang lebih kuat dari itu, iaitu ikatan iman.

Itulah sistem usrah yang di ikat dengan ikatan iman.
Itulah sistem usrah yang berfungsi untuk mentarbiah anak-anak menjadi rijal.
Itulah sistem usrah yang penuh dengan perasaan kasih dan sayang.
Itulah sistem usrah yang berfungsi sebagai alternatif kepada sistem keluarga yang asas.

Anda bijak? Jauhilah zina~

Nilaian tertinggi, bukan kebanggaan

KUALA LUMPUR- Mengejutkan. Begitulah reaksi rakyat Malaysia, terutamanya rakyat negeri Selangor, selepas pendedahan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Ummat semalam. Wartawan Tidak Bernama sempat mendengar keluhan hati beberapa pengunjung ibu kota. Cukuplah kalau pendapat seorang sahaja yang diceritakan di sini. Hari ini hari jumaat, maka tidak perlulah kita bekerja keras sangat. Esok dah cuti dah. Lagipun, hari ini, sepatutnya kita semua menyibukkan diri mengulang baca surah Yasin 33 kali supaya selamat dari gangguan makhluk halus.

Kami sempat menemubual Muhammad Hussaini bin Khairudin, seorang pelajar UPM. Ternyata beliau berminat untuk menyampaikan pendapatnya. Namun, beliau tidak mahu melampirkan gambar beliau, maka terpaksalah Wartawan Kami mengambil gambar siapa-siapa sahaja, supaya nampak kami ini seperti berbuat kerja di pagi Jumaat ini.

Hussaini, ketika ditemui, berasa kesal dengan apa yang berlaku, "Kita seharusnya berani untuk berfikir, 407 bayi yang dilaporkan ini, hanyalah suatu pendedahan yang berani didedahkan oleh pihak kerajaan. Kita tidak tahu angka sebenar. Bahkan kita tidak tahu, betapa ramai bayi-bayi yang dibuang, yang tidak dikesan. Kita juga tidak tahu, dari jumlah itu, berapa banyak bayi-bayi hasil zina itu, yang tidak dibuang, diselindung di sebalik perkahwinan cina buta. Kita juga tidak tahu, betapa banyak perzinaan yang tidak menyebabkan kehamilan. Ternyata jumlahnya jauh lebih besar. Maka, isunya bukan di sebalik jenayah buang anak semata-mata."
"Setiap siang dan malam, betapa ramai anggota masyarakat ini yang berzina. Berzina dengan anak orang, berzina dengan mak orang, berzina dengan kakak orang, berzina dengan adik orang. Masyarakat kita berada dalam krisis nilai", tambahnya lagi.

"Yang lebih membimbangkan, kerajaan kita bercadang untuk membuat pelbagai perancangan-perancangan baru seperti pelaksanaan kelas Seks, pemberian kondom percuma dan lain-lain. Kerajaan cenderung untuk mengambil contoh dari negara-negara barat yang MAJU, terutamanya Amerika Syarikat, sedangkan mereka berada dalam masalah krisis nilai, seks sonsang, seks luar tabii, seks bebas, seks rambang, bunuh, rogol dan zina haram (ada ke yang halal?) yang jauh lebih teruk berbanding kita. Apabila fikiran terjajah, apa sahaja yang ditawarkan oleh penjajah, kita terima bulat-bulat, walaupun menuju kepada kemusnahan."
Hussaini menggesa agar pihak kerajaan mengambil langkah serius menyelesaikan masalah ini, dari peringkat akar umbi lagi.

"Semua pihak, tidak kira pihak kerajaan, institusi pendidikan, masyarakat, keluarga, individu, parti politik, badan bukan kerajaan, harus mengambil langkah drastik, dengan melaksanakan tarbiyyah secara bersepadu, juga, di setiap peringkat."
"Kami, ingin sahaja menawarkan tarbiyyah yang kami dapat ini kepada semua. Tapi ternyata, untuk melaksanakannya, tidak dapat tidak, memerlukan penglibatan semua gerakan-gerakan islam, kerana takungan masyarakat dan ummah terlampau besar."
"Sudah-sudah lah tu bertikam lidah dan saling bermusuhan. Yang kita perlukan sekarang adalah penyelesaian, bukannya masalah."

Apabila ditanya oleh Wartawan Kami, siapakah yang dimaksudkan sebagai 'Kerajaan' oleh beliau, beliau terdiam sementara sambil merenung wartawan, dan menyatakan, "Kerajaan itu boleh jadi, Kerajaan Malaysia, Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Republik Kelantan, Kerajaan Turki Uthmaniyah atau Kerajaan Firaun Kecil bak kata saudara Zulkifli Nordin. Tapi itu bukan isunya. Isunya ialah, setiap individu yang bertanggungjawab, perlu melaksanakan tanggungjawab mereka sebaik mungkin kerana mereka akan dipersoal di akhirat kelak. Saya peduli apa dia tu PKR ke, BN ke, PAS ke, DAP ke, yang penting dia buat kerja. Kalau tak buat kerja, takyah la nak gebang panjang-panjang."

"Satu lagi, tidak perlu nak sibuk-sibuk meneka-neka saya ni menyebelahi mana-mana pihak. Saya ini sokong islam, yang mana baik untuk islam, itulah yang saya sokong, tidak kira warna benderanya. Selepas ini, tak perlulah mana-mana parti nak menagih undi saya, pandai la saya buat pilihan saya sendiri", katanya. -Tidak Bernama.

copied - http://narawastuilmu.blogspot.com/search?updated-max=2010-04-12T10%3A24%3A00%2B08%3A00&max-results=3

Jumaat, April 16, 2010

PERSIDANG MEJA BULAT BERKENAAN ISU PEMBUANGAN BAYI








Majlis HEWI Kebangsaan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (MHK PKPIM) akan mengadakan Persidangan Meja Bulat berkenaan Isu Pembuangan Bayi. Ini berikutan masalah buang bayi yang semakin membimbangkan. Objektif MHK PKPIM mengadakan persidangan ini ialah untuk membincangkan secara serius tentang isu pembuangan bayi serta merangka gerak kerja yang lebih terancang bagi memastikan masalah ini dapat dibendung

Tarikh : 17 April 2010 / 02 Jamadil Awal 1431 H
Tempat : Shafie Conference Room, Kulliyyah Ilmu Wahyu & Warisan Islam,
Universiti Islam Malaysia (UIAM), Gombak , Selangor



2.00 petang Pendaftaran

2.15 petang Ucapan alu-aluan

2.30 petang Pembentangan Kajian Kes Buang Bayi oleh :

1) Pn Hjh Nor Amni Yusoff
Pengarah Bahagian Kanak-Kanak,
Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia

2) Pn.Fadhlina Siddiq
Ketua HELWA,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

3) Aminah Zulkipli,
Pegawai Penyelidik,
Biro Perkhidmatan Pendidikan
Majlis Agama Islam Sarawak



3.30 petang Perbincangan Tindakan dan Resolusi

5.00 petang Pembentangan Resolusi

5.30 petang Bersurai

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi, Fatin , 016-2209520

Sabtu, April 10, 2010

Salam Buatmu Kekasih Ya Rabbi

Tatkala,
Rindu mencengkam waktu,
Lidah tergugup kaku,
Sedang umat mencari sesuatu,
Yang jauh dari Sang Penunggu,
Terlantar dan sesat di situ,
Hilang tanpa arah tuju.
Kini,
Al-amin hadir membawa nur,
Membawa kalam si Dia untuk yang mencintaiNya,
Walau dicaci serta dihina,
Akhirnya menjadi junjungan segenap dunia,
Lantaran akhlak semulia Al-Furqan,
Tiada lagi kegelapan, sinar bergemerlapan
Uswah terbilang, jannah dijanjikan.
Sungguh,Aku menginginkan sentuhan darimu,
Satu kata meluahkan segalanya,
Pandangan mata menyesakkan jiwa,
Walau tidak pernah bersua,
Tapi jentikan iman telah kauberikan,
Oh kekasih Ya Rabbana.
Aku,
Merafakkan hamdallah buatNya,
Demi utusan, sunnah dan mukjizat,
Peninggalan berzaman-zaman,
Harapanku agar dapat bertentang mata,
Namun ingin sekali kukirimkan satu kalimah,
Salam buatmu kekasih Ya Rabbi,
Yang amat dirindui.

Karya asli; Azimah binti Ayub, 5 Hamzah 2010

tinggalkan duniaku dlm sujud terakhir ku,.,.

Aku mahu tinggalkan dunia dalam sujud ku...

SUATU malam ketika aku sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku melihat seolah-olah ayahanda menjelma di hadapanku. Perasaan kasih pada ayahanda tidak dapat ditahan-tahankan lagi, lalu aku berteriak: "Ayah... sudah lama tiada berita dari langit sejak ayahanda tiada!"

Waktu itu aku terlalu rindu setelah beberapa hari ayahanda wafat. Ketika aku sedang memanggil-manggil ayahanda, muncul pula para malaikat bersaf-saf lantas menarik tanganku, membawa aku naik ke langit.

Apabila aku mendongak temampaklah istana-istana indah yang dikelilingi taman-taman pawana serta anak-anak sungai mengalir saujana mata memandang.

Keindahan istana demi istana dan taman demi taman berjajaran di hadapan mata begitu mengasyikkan. Dari celahan pintu-pintu istana tersebut menjelmalah para bidadari seolah-olah patung bernyawa yang sangat jelita, sentiasa tersenyum dan bergelak ketawa. Bidadari itu berkata kepadaku: "Selamat datang wahai makhluk yang diciptakan syurga untuknya, dan kerana ayahanda kamu, kami diciptakan..."

Malaikat itu terus membawa aku naik ke langit seterusnya sehingga memasuki sebuah tempat yang dipenuhi istana-istana yang lebih indah daripada sebelumnya. Cahayanya bergemerlapan.

Dalam setiap istana itu terdapat rumah-rumah berisi pelbagai perhiasan indah yang belum pernah dilihat mata, tidak terdengar di telinga dan tidak pernah tersirat di hati. Penghuni istana-istana ini sentiasa bergembira, bergelak ketawa dan ceria. Di istana itu terdapat pelbagai kain sutera nipis dan tebal. Juga terdapat selimut-selimut daripada sutera dengan pelbagai warna dan corak.

Di atas rak-rak kelihatan pelbagai jenis gelas diperbuat daripada emas dan perak yang sungguh menawan. Pelbagai jenis hidangan makanan, buah-buahan serta air minuman yang lazat dan enak tersedia untuk dimakan. Pemandangan di taman-taman pula sungguh memukau dengan aliran sungai yang warnanya lebih putih daripada susu, rasanya lebih manis daripada madu dan baunya lebih semerbak daripada kesturi.

Aku yang kehairanan dan takjub lantas bertanya: "Untuk siapakah tempat-tempat indah sebegini dicipta? Apa nama sungai-sungai yang harum mewangi ini?"

Malaikat-malaikat itu menjawab:
"Tempat ini adalah Firdaus, tempat paling tinggi dan tiada lagi syurga di atasnya. Syurga Firdaus ini khas untuk singgahsana ayahandamu, semua rasul, nabi, para syuhada dan syiddiqun yang dicintai Allah. Sungai ini bernama al-Kautsar yang telah Allah janjikan kepada ayahandamu."
Aku bertanya lagi: "Di mana ayahandaku?"
Malaikat-malaikat menjawab: "Sebentar lagi ayahandamu akan datang menjemputmu!"

Tidak lama kemudian aku ternampak istana-istana yang sangat putih dan permaidani yang tersangat indah. Tiba-tiba aku sudah berada di atas permaidani yang terbentang di atas singgahsana. Aku ternampak ayahandaku sedang berehat di atas singgahsana tersebut dikelilingi sekelompok orang yang tidak dikenali. Ayahanda menarik tanganku dan mencium dahiku berkali-kali.

Ayahanda berkata: "Selamat datang wahai puteriku!"
Lalu ayahanda meletakkan aku di atas pangkuannya dan berkata lagi:
"Wahai puteriku, tidakkah engkau lihat apa yang telah dijanjikan Allah kepadamu dan yang akan engkau perolehi?"
Ayahanda menunjukkan istana-istana yang disaluti bermacam-macam hiasan yang indah menawan serta berkilau-kilauan, saujana mata memandang. Ayahanda berkata: "Inilah tempat tinggalmu, kediaman suamimu, kedua-dua anakmu serta orang-orang yang mencintaimu dan mencintai mereka. Bergembiralah... engkau akan mengikut ayahanda datang ke sini beberapa hari lagi..."

Aku berkata: "Kalau begitu senanglah hatiku dan bertambah rindu pada ayahanda."

Selepas berjumpa beberapa ketika dengan ayahanda, aku terjaga. Tubuhku menggigil dan terasa takut yang amat sangat. Aku masih teringat-ingat bisikan ayahanda. Aku akan mengikut langkah ayahanda beberapa hari lagi. Aku masih ingat ayahanda berkata perkara yang sama sebelum wafat. Ayahanda pernah membisikkan bahawa akulah orang pertama yang menyahut panggilan Ilahi selepasnya.

Sejak hari ayahanda wafat lagi aku selalu menangis dan bersedih. Perasaan sedih makin terasa selepas bermimpi bertemu ayahanda. Aku tahu tidak lama lagi aku akan meninggalkan dunia fana ini untuk bersama ayahanda tercinta di akhirat yang kekal, aman dan sentosa.

Aku menceritakan mimpi tersebut pada suamiku dan juga pembantuku Asma binti Umays. Aku beritahu saat ajal hampir tiba. Asma menunjukkan pelepah kurma basah untuk membuat usungan seperti yang dilihat dibuat di Habshah.
Aku tersenyum apabila melihat keranda itu. Aku berwasiat supaya jenazahku nanti dikebumikan pada malam hari agar tiada seorang pun yang marah apabila melihat jenazahku. Aku juga meminta suamiku supaya menikahi Umamah, saudara perempuanku. Umamah menyayangi anakku seperti aku menyayangi mereka.

Setelah merasa saat ajal hampir tiba aku membawa dua orang anakku menziarah makam ayahanda. Tubuhku terasa sangat lemah untuk memijak. Tapi aku gagahi juga untuk bersembahyang dua rakaat antara mimbar dan makam ayahanda.

Tidak lama lagi jasadku akan berpisah dengan roh. Aku akan meninggalkan dua puteraku. Lalu aku peluk dan cium kedua-duanya bertubi-tubi. Sayang, ibumu terpaksa pergi dulu...

Selamat tinggal sayangku, puteraku dan suami tercinta. Biarlah aku menghadap Ilahi tanpa tangisan sesiapa. Aku tidak sanggup melihat tangisan puteraku dan suamiku. Biarlah mereka berada di sisi makam ayahanda dan suamiku bersembahyang. Kalau boleh aku mahu tinggalkan dunia ini dalam bersujud pada Ilahi.

Aku terus meninggalkan dua puteraku dan membiarkan suamiku bersembahyang di masjid. Aku mengambil ramuan hanuth, sejenis pengawet mayat yang ayahandaku biasa gunakan. Aku siramkan air ramuan itu ke seluruh tubuhku. Kemudian aku memakai kain sisa kapan ayahandaku. Selepas itu sekali lagi aku memanggil Asma binti Umays yang sentiasa mengurus dan merawatku.

Pada Asma aku berpesan, "Wahai Asma, perhatikanlah aku. Sekarang aku hendak masuk ke rumah membaringkan tubuhku sekejap. Jika aku tidak keluar, panggillah aku tiga kali dan aku akan menjawab panggilanmu. Tetapi jika aku tidak menjawab, ketahuilah aku telah mengikut jejak langkah ayahandaku!"

Setelah sejam berlalu, Asma memanggil-manggil nama wanita itu tetapi tiada sebarang jawapan. Ketika penjaga itu masuk, dia terkejut apabila melihat wanita kurus cengkung itu meninggal dunia dalam sujudnya. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun...

***********
Aku dalam cerita di atas ialah Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah dengan isteri pertamanya Siti Khadijah. Fatimah meninggal dunia dalam usia 28 tahun setelah 40 hari Rasulullah s,a.w. wafat dan jenazahnya dimakamkan di perkuburan Baqi' di Madinah. Masih adakah wanita solehah seperti Fatimah di zaman moden ini?

moga2 dapt menjentik iman yg mmbacenye,.,.,.

beginilah tarbiyah mengajarkan kita

Tersenyum sendiri.

Benarlah kan.
Sabda Rasulullah,
"Siapa yang Allah mahu beri kebaikan, Allah berikannya kefahaman dalam agama".


Sungguh comel aturan Allah.

Dulu-dulu,
ayat-ayat Al-Quran terasa sangat jauh dengan dirinya,
rasa tak feel pun bila baca,
dan malas nak tahu maksud-maksud terjemahan ayat-ayat Allah tu,
just baca for the sake of 'nak dapat pahala'.

Tapi kini,
tarbiyyah mengajar seseorang,
untuk rasa dekat dengan ayat-ayat Al-Quran,
merasakan setiap ayatNya yang turun dalam kitab Allah semuanya untuk dia.
merasakan banyak perintah dan larangan
juga Allah janjikan balasan syurga yang sangat comel,
yang tak tergambar dek hati yang membaca.

Alhamdulillah.

Dulu-dulu,
rasa malas je nak dengar orang cakap-cakap pasal islam,
orang ingat-ingatkan pasal hari akhirat,
orang ingat-ingatkan pasal tugas berdakwah,
rasa macam tak de kena mengena,
rasa macam biarlah mereka-mereka itu dengan agenda mereka,
rasa macam tak perlu pon ambil tahu,
maybe sebab kita buat something yang tak nampak effect nya dalam masa yang cepat.

Tapi kini,
dirinya sangat teruja untuk mendalami islam,
dirinya cukup berlumba-lumba untuk mendapat pencerahan,
dirinya cukup semangat untuk menghadiri program-program yang membentuk fikrah dan pemikiran.
dirinya faham akan tugas dakwah kerana Allah yang menuntut syahadah al-haq ke atas kita.
kefahaman-kefahaman yang berlandaskan al-quran dan as-sunnah.
dirinya juga semakin menghayati dan mendalami sirah rasulullah yang sangat dekat dalam kehidupan kita.

Alhamdulillah.

Dulu-dulu,
rasa tak penting pon jaga aurat,
lengan senang saja disinsing,
stokin pon entah ke mana,
lebih teruja dengan fashion-fashion barat yang melampau!

Tapi kini,
itulah tarbiyyah mengajar,
untuk menjaga aurat dan perhiasan kita,
surah an-nur cukup menggetarkan hati-hati wanita akan pentingnya menjaga aurat dan batasan suara.
juga menjaga hati dari terjebak dengan zina.
dan dia juga ingat,
apa yang penting dalam pembinaan individu muslim adalah pembentukan akidah yang sejahtera.
barulah hati itu mudah mengikut dan mentaati perintah-perintah hukum Allah seperti menutup aurat dan lain-lain.

Alhamdulillah.

Dulu,
berkawan itu disebabkan kita dipertemukan,
tak rasa pun, kita bersahabat atas ikatan yang sama.
Tapi kini,
dirinya faham akan ikatan ukhuwah yang tidak ternilai itu,
ukhuwah disebabkan atas ikatan satu akidah,
akidah islam,
dan ukhuwah yang memperjuangkan matlamat yang sama,
tujuan yang sama,
bekerja bersama-sama.
hati-hati yang diikatNya pun sangat suci,
masing-masing berusaha membantu yang lain untuk memperjuangkan agamaNya.
Oh, indahnya!
Indah berada di bawah naungan cintaNya.
Diri menulis tatkala melihat perubahan-perubahan dalam diri dan orang-orang sekeliling.
Sungguh, berada di bawah bayangan tarbiyyah sangat mengajar dan mendidik hati.
Alhamdulillah.
Inilah mutiara-mutiara islam yang diperlukan untuk menegakkan islam kembali agar lebih ramai lagi hati-hati yang tersentuh dengan ajaran islam yang sangat indah!

waAllahua'lam.
copied form here

Jumaat, April 09, 2010

Antara Dua Cinta

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim,

Antara dua cinta, memang sesuatu yang merumitkan kerana kita terpaksa membuat dua pilihan. Membuat pilihan adalah satu perkara yang agak membebankan, tetapi nukilan kali ini tidak akan menyentuh agar kita memilih yang mana satu tetapi kita harus memilih kedua-duanya kerana dengan memilih keduanya kita tidak berada dalam golongan orang-orang yang rugi malah kita akan merasa lebih bahagia dan berjaya.
Antara dua cinta yang ingin disentuh di sini ialah cinta dunia dan cinta akhirat. Kita tidak boleh memilih mana-mana untuk mencintai tetapi kita harus memilih kedua-duanya  dan berlaku adil padanya. Tetapi kebanyakan dari kita hari ini telah membuat pilihan untuk mencintai dunia dan melupakan akhirat. Dan ada pula segelintir yang mencintai akhirat dan tidak mempedulikan dunia. Ramai di antara kita mengimpikan rumah besar, kereta besar dan mengejar kemewahan dunia yang sementara. Tak ramai di antara kita yang mengimpikan jannatul firdaus dan taman –taman syurga yang lain yang jauh lebih baik dan kekal.
Cinta dunia hanyalah cinta yang sementara, dunia hanyalah persinggahan untuk menuju ke akhirat. Mengejar cinta dan kemewahan dunia semata tidak akan membawa kita ke mana-mana malahan ia boleh melalaikan kita untuk mencari cinta yang sebenarnya yang lebih kekal abadi.
Firman Allah:
“Dan (Ingatlah) hari (ketika) orang kafir dihadapkan ke neraka (kepada mereka dikatakan):
Kamu sudah menghabiskan rezekimu yang baik dalam kehidupan duniawimu (saja) dan kamu sudah bersenang-senang menikmatinya.”
(Surah al-Ahqaf, ayat 20)

Alangkah ruginya memiliki segala kemewahan dunia tetapi setakat dirasa selama 60 tahun saja. Bahkan ketika ditanya berapa lama kamu hidup di dunia? Mereka menjawab tidak lebih daripada setengah hari saja.
Bermimpi untuk memilih rumah anda di syurga dengan amalan yang sederhana dan mudah dilakukan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidaklah salah seorang kamu mengambil wuduk kemudian memperbaiki wuduknya dan mengerjakan sembahyang dua rakaat melainkan wajib baginya syurga.”
(Hadis riwayat Abu Daud, disahihkan oleh al-Albani)
.

Banyakkan Memberi Jika Mahu Banyak Menerima

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim,

Dari Jabir bin’ Abdullah r.a., katanya: “Aku hadir solat ‘Id bersama-sama Rasulullah saw. pada hari ‘Id. Mula-mula beliau solat sebelum berkhutbah tanpa azan dan iqamah. Beliau berkhutbah sambil berdiri dan berpegangan kepada Bilal. Beliau memerintahkan supaya taqwa kepada Allah dan mendorong supaya mentaati-Nya. Selanjutnya beliau memberi peringatan dan pengajaran kepada mereka. Kemudian beliau berlalu hingga sampai ke tempat kaum wanita. Beliau memberi pengajaran kepada para wanita, memperingatkan dan menyuruh mereka supaya gemar bersedekah. Sabda beliau, “Bersedekahlah anda semua, kerana sesungguhnya kamulah saya lihat yang terbanyak menjadi kayu neraka.” 
Mendengar itu, maka berdiri seorang perempuan di antara para wanita yang banyak dengan wajah merah kehitam-hitaman. Dia bertanya; “Kenapa begitu, ya, Rasulullah?” Jawab Rasulullah, “Kerana kamu banyak mengeluh dan suka membangkang kepada suami.”  Kerana itu mereka sedekahkan perhiasan mereka, seperti anting-anting dan cincin, yang mereka lemparkan ke kain yang dibentangkan Bilal.
Rujukan: Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0835.
Demikianlah Rasulullah mengajarkan kepada kita agar banyak membantu mereka yang kurang. Banyakkan bersedekah mudah-mudahan hidup akan lebih berkat dan bahagia. Saban hari kita terasa kehidupan kita makin sempit. Ditambah lagi dengan desakan ekonomi yang tidak stabil sudah pasti memberikan lebih banyak himpitan dalam kehidupan seharian. Kurangnya pintu rezeki dari Allah jarang kita nilai tentang kelemahan apa yang telah kita lakukan.
Sebenarnya banyak perkara yang menjadi asbab untuk Allah membuka pintu rezeki kepada kita. Lebih-lebih lagi bersedekah. Jika kita halusi mengapa Allah SWT memberikan kemurahan rezeki kepada mereka yang banyak bersedekah? Maka dari sini adalah asbab yang Allah berikan pada kita bahawa kita perlu banyak memberi kepada orang lain sekiranya kita mahukan balasan dari Allah. Bersedekah sebagai bantuan kepada mereka yang memerlukan. Jika banyak kita membantu orang lain maka sudah pasti Allah akan banyak membantu diri kita.
Baik dari sudut rezeki pendapatan, pelepasan dari cengkaman hutang, kesihatan berpanjangan atau mungkin juga kebahagiaan dalam hidup.
Satu lagi isi penting dari wasiat Rasul ini ialah jangan mengeluh. Mengeluh juga memberikan tanda putus asa dan hilangnya nilai positif dalam diri. Sebagai orang mukmin sikap mengeluh perlu dijauhkan. Jangan sekali-kali meletakkan sesuatu yang negatif dalam diri kerana Allah amat luas rahmatnya dan akan membantu hambaNya.
.

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Jangan Berfikir Untuk Bersedekah

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim,
Semoga berada di bawah naungan Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saW., sabdanya: ”
Ada seorang lelaki berkata, “Aku hendak bersedekah malam ini.” Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan disedekahkannya kepada perempuan lacur. Esok pagi orang banyak mempercakapkan bahawa tadi malam ada pelacur yang diberi orang sedekah. Orang itu berujar, “Wahai, Allah! Segala puji bagi-Mu yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur. Aku akan bersedekah lagi.” Dia pergi pula membawa sedekahnya, lalu diberikannya kepada orang kaya.

Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang memberi sedekah kepada orang kaya. Lalu orang yang bersedekah itu berkata, “Wahai, Allah! Untuk-Mulah segala puji, kerana Engkau telah menjadikan sedekahku jatuh kepada orang kaya. Aku akan bersedekah lagi.”  Dia pergi pula membawa sedekahnya, dan diberikannya kepada si pencuri. Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang bersedekah kepada pencuri. Orang yang bersedekah itu pun berujar pula, “Segala puji bagi Allah yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur, kepada orang kaya, dan kepada pencuri.’
Kemudian orang itu didatangi malaikat seraya katanya :”Sedekah anda sudah diterima baik oleh masing-masing orang yang anda beri sedekah. Adapun perempuan lacur, semoga dia berhenti dari perbuatan melacur; kepada si kaya, semoga dia menyedari dirinya dan bersedekah pula; dan untuk si pencuri, semoga dia berhenti mencuri.”[HR Muslim]
Berdasarkan hadis ini jelas sekali kepada kita bahawa sedekah kita tetap diterima oleh Allah seandainya ada keikhlasan di atas apa yang disedekahkan oleh kita. Sesiapa pun yang menerima sedekah kita tidak menjadi masalah, walaupun mungkin pada pandangan nilaian mata manusia sedekah yang kita lakukan berlaku di luar adat manusia. Tetapi bila kita membaca mafhum hadis ini jelas sekali apabila kita timbul niat untuk bersedekah, maka jangan kita berfikir panjang kepada siapa dan berapakah jumlahnya yang akan kita keluarkan untuk bersedekah.
Lelaki yang disebut di dalam hadis ini tidak menghiraukan apa jua perkataan yang keluar walaupun sedekah yang dikeluarkan tidak menepati nilaian mata manusia, namun apa yang lebih penting ialah nilaian amal kebajikan di sisi Allah SWT.
Jadilah golongan yang memberi kerana kedudukannya jauh lebih mulia berbanding mereka yang menerima. Allah SWT amat memuliakan golongan yang memberi ini, tetapi seandainya mereka memberi tetapi dalam keadaan si penerima tidak redha dan merasa benci dengan pemberian dan sedekahnya kerana wujud kejian dan kata-kata yang tidak baik, maka adakah ianya mendapat rahmat di sisi Allah? Mudah-mudahan amal baik kita ini diterima oleh Allah SWT.