.::UNTAIAN KISAH PENUH HIKMAH::.
"Buku ini memaparkan aneka kisah yang sarat dengan hikmah yang bukan hanya memikat, malah membangun moral diri dan ketauhidan jiwa." -Habiburrahman El Shirazy (penulis buku-buku best seller)
"Tahun berapakah Tuhan kamu dilahirkan?"
tanya seorang ilmuwan kafir.
"Allah tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan,"
jawab Abu Hanifah.
"Hmmm, masuk akal juga jika kamu katakan Tuhan kamu itu tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan. Lalu, pada tahun berapa Dia mula wujud?"
"Dia wujud sebelum segala kewujudan ada,"
tegas Abu Hanifah.
"Boleh kamu berikan contoh yang kuat tentang hal ini?"
"Kamu tahu tentang kira-kira?"
tanya Abu Hanifah pula.
"Ya, saya tahu."
"Angka berapa sebelum angka satu?"
"Tidak ada,"
jawab ilmuwan kafir itu dengan pantas.
"Jadi, kamu sedia maklum bahawa tiada angka lain sebelum satu, kenapa pula kamu perlukan contoh bahawa kewujudan Allah itu tidak ada yang mendahuluinya?"
(Perdebatan Abu Hanifah dengan Ilmuwan Kafir)
Semua kisah yang dipaparkan dalam buku ini ibarat 'minuman suam' yang dihirup ketika musim tengkujuh. Ianya sentiasa menghangatkan jiwa kita untuk sentiasa merenungi kehidupan dan mensyukuri betapa Allah S.W.T. itu Maha Besar, Maha Pengampunan dan Maha Pemurah. Kisah-kisah ini juga ibarat oasis di sebuah gurun kehidupan yang gersang serta penuh liku. Banyak kisah keagamaan yang penuh hikmah serta "bergizi" untuk menyedarkan kita tentang makna kehidupan di bawah sedar kita. Tentu tidak ada seorang pun di antara kita yang tidak pernah menghadapi masalah dalam hidupnya. Oleh itu, bacaan mudah dan padat berisi hikmah ini adalah sebuah inspirasi yang sesuai untuk menyuburkan minda agar kita lebih bijak dalam mengharungi hidup.
~KISAH 1: LEBIH KAYA DARIPADA ALLAH~
Siapa yang tidak kenal dengan Abu Nawas. Dia begitu terkenal, terutama di dunia Arab dan Islam. Bukan hanya seorang yang pintar, Abu Nawas juga seorang yang berpengetahuan luas dan sangat pandai membuat lawak jenaka. Tutur katanya sering membuatkan orang tertawa terbahak-bahak. Bahkan, Kalifah Harun Ar-Rasyid pun sangat mengagumi dan menyayangi tokoh yang satu ini..
Tidak begitu menghairankan jika Abu Nawas disukai ramai orang. Abu Nawas sangat peramah dan pandai bergaul. Hampir di setiap tempat selalu saja ada sahabat Abu Nawas. Malah, tidak jarang Abu Nawas sering dialu-alukan seperti seorang pahlawan.
Suatu hari, Abu Nawas bergegas pergi ke pasar. Ada ramai sahabatnya di sana. Hari itu pasar sangat ramai, dipenuhi para pembeli. Para penjual sibuk menjajakan dagangannya.
"Sahabat-sahabat, aku sangat membenci yang hak dan sangat mencintai fitnah," ujar Abu Nawas.
Orang-orang menjadi kehairanan dengan ucapan Abu Nawas yang tiba-tiba sahaja berbicara seperti itu.
Belum pun reda kehairanan mereka, Abu Nawas sudah berkata lagi, "Hari ini aku kaya raya, bahkan lebih kaya daripada Allah."
Beberapa pedagang di pasar malah ada yang menyangka bahawa Abu Nawas sudah gila. Bayangkan sahaja, dia sangat membenci yang hak dan sangat mencintai fitnah. Kalau orang normal, pasti sangat mencintai yang hak dan sangat membenci fitnah. Lebih gila lagi, Abu Nawas mengaku lebih kaya daripada Allah. Padahal, semua orang juga tahu bahawa Allah itu Maha Kaya. Tidak ada seorang pun yang lebih kaya daripada Allah.
"Wah, Abu Nawas sudah tidak waras!" seru seorang pedagang.
"Iya, benar!" yang lain turut mengiakan.
"Kita bawa saja Abu Nawas kepada Khalifah Harun Ar-Rasyid."
"Benar, setuju!" yang lain serentak mengiakan.
Saat itu juga, orang-orang membawa Abu Nawas ke hadapan khalifah. Di hadapan khalifah, seseorang mengungkapkan perkataan Abu Nawas ketika di pasar.
Khalifah Harun Ar-Rasyid mendengar pengaduan itu. Walaupun demikian, khalifah tidak terus menghukum Abu Nawas. Khalifah sangat adil, arif, dan bijak. Bagaimanapun, beliau perlu mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak. Boleh jadi, maklumat dari sebelah pihak hanya fitnah belaka.
Kemudian, Khalifah Harun Ar-Rasyid menyuruh Abu Nawas menghampirinya. "Kamu kata, kamu sangat membenci yang hak dan sangat mencintai fitnah. Benarkah apa yang dikatakan orang-orang ini?"
"Benar," jawab Abu Nawas.
"Kamu juga mengatakan bahawa kamu lebih kaya daripada Allah?"
"Benar."
Wajah Khalifah Harun Ar-Rasyid bertukar menjadi merah padam. Beliau benar-benar murka kepada Abu Nawas. Seorang yang dikaguminya ini ternyata telah ingkar.
"Ada apa sebenarnya? Apa yang telah terjadi dengan kamu? Apakah kamu benar-benar telah kafir?"
"Bertenanglah! Jika tidak keberatan, sila dengarkan baik-baik penjelasan saya ini," kata Abu Nawas sambil tersenyum.
"Apa lagi yang akan kamu jelaskan? Semuanya sudah jelas, tidak perlu penjelasan lagi."
"Begini. Saya sering mendengar orang mengatakan bahawa mati itu adalah hak dan neraka itu adakah hak. Bukankah orang-orang juga tidak menyukai kematian dan neraka? Menurut saya, khalifah juga tidak menyukai kematian dan neraka," jelas Abu Nawas.
Kini, rona muka Khalifah Harun Ar-Rasyid kembali ceria. Kepala beliau mengangguk-angguk tanda setuju dengan perkataan Abu Nawas. Ternyata tidak seperti yang dibayangkan. Abu Nawas masih alim dan lucu seperti dulu.
"Tetapi, mereka mengatakan kamu sangat mencintai fitnah."
"Begini. Kata Allah, harta dan anak-anak merupakan fitnah. Tidak ada seorang pun yang membenci harta dan anak-anak. Saya dan khalifah sangat mencintai harta dan anak-anak."
Khalifah mengangguk-angguk lagi tanda setuju. Apa yang dikatakan Abu Nawas memang benar.
"Masih ada satu lagi. Bagaimana kamu boleh lancang mengaku bahawa kamu
lebih kaya daripada Allah?"
"Saya mempunyai ramai anak, sedangkan Allah tidak beranak dan tidak pula
diperanakkan. Ramai anak itu banyak rezeki."
Suasana menjadi riuh. Terdengar suara gelak tawa di sana-sini. Orang-orang merasa puas
dengan penjelasan Abu Nawas. Setelah itu, mereka pun bersurai.
Tidak seperti orang lain yang pulang dengan tangan kosong, Abu Nawas pulang dengan
mendapat hadiah. Kerana kecerdasannya itu, khalifah memberikan hadiah beberapa barang
berharga.
"Sebenarnya, apa yang mendorong kamu mengatakan hal yang membingungkan
seperti itu di hadapan orang ramai?" tanya khalifah yang masih kebingungan.
"Mudah sahaja. Saya hanya ingin bertemu dengan khalifah.
Hanya dengan cara seperti ini, saya berkesempatan masuk ke
istana." [moga dapat mengambil pelajaran. =)]
0 komen:
Catat Ulasan