Sabtu, Jun 11, 2011

Assalamualaikum ^^

*terima kasih zainulhussin.blogspot.com
Dahulu, sewaktu saya di tingkatan satu, para senior selalu mengingatkan saya dan rakan-rakan agar senantiasa ingat untuk memberi salam kepada mereka. Memang sesuai pun kerana dalam hadis, yang muda seeloknya memberi salam kepada yang tua. Kita juga sangat-sangat digalakkan memberi salam malah pelbagai kelebihan memberi salam yang telah diberitakan. Perkara pertama yang Nabi SAW sampaikan ketika berada di Madinah al-Munawwarah adalah:
"Wahai manusia, berikanlah salam, berilah makan, jalinkanlah silaturrahim, solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur nescaya kamu akan memasuki syurga dengan selamat sejahtera." (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Baihaqi)
Dalil yang lain termasuklah:
"Hak seorang muslim atas muslim lainnya ada enam perkara: Apabila engkau menjumpainya engkau berikan salam kepadanya..." (HR Muslim)
"Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya." (Riwayat At-Tabrani)
Dari Abu Hurairah RA bahwasanya Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah yang muda memulai memberi salam kepada yang tua, yang berjalan kepada yang duduk dan yang sedikit kepada yang lebih banyak..” Dan dalam suatu riwayat: “dan yang bertunggangan (berkenderaan) kepada yang berjalan.” (HR Bukhari dan Muslim)
Dan apabila kamu akan masuk ke suatu rumah, maka ucapkanlah salam atas diri kalian”
(Surah An-Nur, Ayat 61)
Mengapa saya mengemukakan tazkirah ini? Haa..kerana sudah semakin ramai (termasuklah pengalaman saya sendiri) orang yang menyatakan rasa kesal bahawa pelajar-pelajar sekolah (khususnya SMAKL) majoritinya tidak lagi mementingkan pemberian salam. Sama ada kerana tidak kenal, ego, tidak biasa dan sebagainya, ramai yang tidak mengambil peluang merapatkan silaturrahim dan memdapatkan pahala dengan mengucapkan sepatah perkataan ini.

Bagi saya, memberi salam telah pun menjadi kebiasaan semenjak di sekolah rendah di mana guru-guru telah mendidik agar memberi salam dan mencium tangan (jika sama jantina) para guru. Ia merupakan amalan yang baik. Mengapa menolak? Dan di SMAKL juga, para guru tetap berpesan perkara yang sama walaupun mungkin kurang ditekankan. Sebenarnya, memberi senyuman ikhlas juga cukup untuk menggembirakan hati seseorang apatah lagi jika disertakan dengan pemberian salam.

Salam itu juga merupakan satu doa. Apabila kita mendoakan yang lain, mereka juga wajib mendoakan semula (menjawab salam) dan dengan itu, kita semua saling doa-mendoakan. Bukankah itu akan membuat hidup lebih sejahtera? Berbalik kepada pendahuluan saya, di mana senior suka junior memberi salam, senior juga sepatutnya mengamalkan perkara yang sama. Menunjukkan contoh yang baik kan cara dakwah yang efektif.

Pesanan di sini hanya satu, berilah salam..kepada junior, kepada senior, kepada rakan-rakan, kepada guru-guru, kepada para pelawat, kepada semua muslim, sebelum masuk dorm, sebelum masuk kelas dan seterunsya. Jadikanlah ia amalan dan kebiasaan. Lama-kelamaan, ia akan menjadi automatik. Ia bukanlah sesuatu yang sukar dan sebenarnya tidak memerlukan paksaan. Hanya dengan pilihan hati dan keikhlasan budi insyaAllah. :D

*terima kasih andreomeaga.blogspot.com

0 komen: