Muhammad Rasulullah SAW sebagai penyempurna akhlak telah menunjukkan keperibadian yang amat mulia sepanjang hidup baginda. Sebelum pemergiannya, baginda sempat mewariskan 2 perkara sebgai pegangan umat Islam beserta janjinya bahawa mereka yang berpegang kepada perkara tersebut tidak akan sesat selamanya, iaitu al-Quran dan sunnahnya. Sebagai kesinambungan kepada sambutan Maulidur Rasul 1431H, pihak Badan Dakwah & Rohani (BADAR) Sekolah Menengah Kebangsaan Agam Kuala Lumpur telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan sebuah lagi program bertujuan untuk memberi penghayatan dan pengamalan mengenai sunnah-sunnah baginda sekaligus memupuk rasa cinta terhadap Rasulullah SAW.
Pada hari Isnin, 1 Mac 2010, majlis perasmian Karnival Ihya’ Sunnah 1431H telah diadakan ketika perhimpunan rasmi mingguan dengan disempurnakan perasmiannya oleh Penolong Kanan Tadbir & Kurikulum, Ustazah Mek Emas bt. Abdullah bagi pihak Tuan Pengetua. Simbolik perasmian karnival ini telah disempurnakan beliau dengan menandatangani skrol yang dibawa 2 orang pelajar lelaki berjubah. Majlis diteruskan dengan penyampaian tazkirah ringkas mengenai amalan-amalan sunnah Rasulullah ketika hayat baginda yang disampaikan oleh Guru Penasihat Lajnah Kebudayaan & Kesenian, Ustaz Azhari b. Abd Rahman.
Pada hari yang sama, Lajnah Musolla & Ibadah telah mengedarkan soalan-soalan ‘Kuiz Kenali Rasul’ mengikut kelas sementara Lajnah Penerangan & Penerbitan telah menghebahkan mengenai ‘Pertandingan Sajak Cinta Rasul’. Kedua-dua pertandingan ini berjalan selama seminggu bermula hari Isnin mengikut kategori masing-masing dengan harapan agar para pelajar dapat mengenali junjungan mulia Muhammad Rasulullah SAW. Selain itu, BADAR juga mula mengedarkan risalah khas harian sepanjang berlangsungnya Karnival Ihya’ Sunnah yang berfokus kearah keperibadian serta akhlak baginda yang sangat mulia.
Karnival Ihya’ Sunnah ini berjalan dengan lancar. Pada hari-hari berikutnya, tazkirah harian terus dijalankan iaitu ketika perhimpunan harian dan tazkirah ringkas selepas Maghrib pada setiap hari. Para penyampai tazkirah kebanyakannya menyeru agar semua pelajar SMKA KL dapat meneruskan perjuangan sunnah terbesar baginda iaitu akhlak mulia dan dakwah. Pihak Lajnah Penerangan & Penerbitan juga terus mengedarkan risalah khas harian mengikut kelas selain mengedarkannya kepada seluruh kakitangan sekolah termasuklah guru, pembantu am dan pekerja dewan makan.
Pada hari Khamis pula, semua pelajar telah bersama-sama berpuasa sunat. Dengan kerjasama semua pelajar, warden serta surau dalam kariah, majlis Iftar Jami’e pada malam tersebut dapat dijayakan dengan para pelajar berbuka puasa menggunakan talam. Mengikut kumpulan Usrah masing-masing, Banin telah berbuka beramai-ramai di Dewan, manakala Banat pula berbuka di Dewan Makan. Pada malam yang sama juga, telah diadakan bacaan Yaasiin dan solat hajat khas untuk calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun 2009.
Suasana Majlis Iftar Jami'e di Dewan
Pertandingan Nasyid Salawat pula anjuran Masjid al-Imam al-Ghazali telah diadakan dengan kerjasama SMK Agama Kuala Lumpur pada hari Ahad, 7 Mac 2010. Sebanyak 14 kumpulan telah berentap di Dewan al-Ghazali. Kesemua 7 kumpulan dari SMKA KL telah menunjukkan prestasi yang sangat memberansangkan. Selain itu, perlaksanaan aktiviti kerohanian seperti Usrah juga turut berfokus kepada penghayatan sunnah-sunnah Rasulullah SAW.
Pada sebelah malamnya pula, sebuah majlis telah diadakan di Dewan Solat Masjid al-Imam al-Ghazali. Majlis Penutup Sambutan Maulidur Rasul. Kumpulan Qasidah SMKA KL telah membuat persembahan dan seramai hampir 400 pelajar SMKA KL telah terpilih mendengar forum khas Mulidur Rasul yang disampaikan oleh beberapa orang panel terkemuka. Malam tersebut juga, telah diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang bagi Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul dan Pertandingan Nasyid Salawat. Semua peserta pertandingan telah menerima hadiah walaupun hanya mendapat saguhati. Bagi Pertandingan Kuiz Kenali Rasul dan Pertandingan Sajak Cinta Rasul, sebuah majlis penyampaian hadiah telah diadakan pada hari Rabu, 10 Mac 2010 sewaktu perhimpunan harian. Dalam masa yang sama, seramai 2 orang pelajar Banin dan Banat bagi setiap Tingkatan telah dipilih sebagai ‘Ikon Ihya Sunnah 1431H’. Kesemua pelajar yang menerima pengiktirafan ini telah diadili dan dipantau oleh Guru-guru Penasihat BADAR sepanjang berlangsungnya Karnival Ihya’ Sunnah 1431H.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah melancarkan perjalanan program Karnival Ihya’ Sunnah 1431H sejak dari awal perancangannya lagi. Diharapkan dengan perlaksanaan program seperti ini mampu untuk memupuk rasa cinta kita terhadap junjungan besar Muhammad Rasulullah SAW melalui pengamalan sunnah-sunnah baginda seterusnya mneruskan perjuangan baginda menegakkan kalimah agung ‘La ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah’.
0 komen:
Catat Ulasan