Jumaat, April 09, 2010

Antara Dua Cinta

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim,

Antara dua cinta, memang sesuatu yang merumitkan kerana kita terpaksa membuat dua pilihan. Membuat pilihan adalah satu perkara yang agak membebankan, tetapi nukilan kali ini tidak akan menyentuh agar kita memilih yang mana satu tetapi kita harus memilih kedua-duanya kerana dengan memilih keduanya kita tidak berada dalam golongan orang-orang yang rugi malah kita akan merasa lebih bahagia dan berjaya.
Antara dua cinta yang ingin disentuh di sini ialah cinta dunia dan cinta akhirat. Kita tidak boleh memilih mana-mana untuk mencintai tetapi kita harus memilih kedua-duanya  dan berlaku adil padanya. Tetapi kebanyakan dari kita hari ini telah membuat pilihan untuk mencintai dunia dan melupakan akhirat. Dan ada pula segelintir yang mencintai akhirat dan tidak mempedulikan dunia. Ramai di antara kita mengimpikan rumah besar, kereta besar dan mengejar kemewahan dunia yang sementara. Tak ramai di antara kita yang mengimpikan jannatul firdaus dan taman –taman syurga yang lain yang jauh lebih baik dan kekal.
Cinta dunia hanyalah cinta yang sementara, dunia hanyalah persinggahan untuk menuju ke akhirat. Mengejar cinta dan kemewahan dunia semata tidak akan membawa kita ke mana-mana malahan ia boleh melalaikan kita untuk mencari cinta yang sebenarnya yang lebih kekal abadi.
Firman Allah:
“Dan (Ingatlah) hari (ketika) orang kafir dihadapkan ke neraka (kepada mereka dikatakan):
Kamu sudah menghabiskan rezekimu yang baik dalam kehidupan duniawimu (saja) dan kamu sudah bersenang-senang menikmatinya.”
(Surah al-Ahqaf, ayat 20)

Alangkah ruginya memiliki segala kemewahan dunia tetapi setakat dirasa selama 60 tahun saja. Bahkan ketika ditanya berapa lama kamu hidup di dunia? Mereka menjawab tidak lebih daripada setengah hari saja.
Bermimpi untuk memilih rumah anda di syurga dengan amalan yang sederhana dan mudah dilakukan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidaklah salah seorang kamu mengambil wuduk kemudian memperbaiki wuduknya dan mengerjakan sembahyang dua rakaat melainkan wajib baginya syurga.”
(Hadis riwayat Abu Daud, disahihkan oleh al-Albani)
.

Banyakkan Memberi Jika Mahu Banyak Menerima

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim,

Dari Jabir bin’ Abdullah r.a., katanya: “Aku hadir solat ‘Id bersama-sama Rasulullah saw. pada hari ‘Id. Mula-mula beliau solat sebelum berkhutbah tanpa azan dan iqamah. Beliau berkhutbah sambil berdiri dan berpegangan kepada Bilal. Beliau memerintahkan supaya taqwa kepada Allah dan mendorong supaya mentaati-Nya. Selanjutnya beliau memberi peringatan dan pengajaran kepada mereka. Kemudian beliau berlalu hingga sampai ke tempat kaum wanita. Beliau memberi pengajaran kepada para wanita, memperingatkan dan menyuruh mereka supaya gemar bersedekah. Sabda beliau, “Bersedekahlah anda semua, kerana sesungguhnya kamulah saya lihat yang terbanyak menjadi kayu neraka.” 
Mendengar itu, maka berdiri seorang perempuan di antara para wanita yang banyak dengan wajah merah kehitam-hitaman. Dia bertanya; “Kenapa begitu, ya, Rasulullah?” Jawab Rasulullah, “Kerana kamu banyak mengeluh dan suka membangkang kepada suami.”  Kerana itu mereka sedekahkan perhiasan mereka, seperti anting-anting dan cincin, yang mereka lemparkan ke kain yang dibentangkan Bilal.
Rujukan: Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0835.
Demikianlah Rasulullah mengajarkan kepada kita agar banyak membantu mereka yang kurang. Banyakkan bersedekah mudah-mudahan hidup akan lebih berkat dan bahagia. Saban hari kita terasa kehidupan kita makin sempit. Ditambah lagi dengan desakan ekonomi yang tidak stabil sudah pasti memberikan lebih banyak himpitan dalam kehidupan seharian. Kurangnya pintu rezeki dari Allah jarang kita nilai tentang kelemahan apa yang telah kita lakukan.
Sebenarnya banyak perkara yang menjadi asbab untuk Allah membuka pintu rezeki kepada kita. Lebih-lebih lagi bersedekah. Jika kita halusi mengapa Allah SWT memberikan kemurahan rezeki kepada mereka yang banyak bersedekah? Maka dari sini adalah asbab yang Allah berikan pada kita bahawa kita perlu banyak memberi kepada orang lain sekiranya kita mahukan balasan dari Allah. Bersedekah sebagai bantuan kepada mereka yang memerlukan. Jika banyak kita membantu orang lain maka sudah pasti Allah akan banyak membantu diri kita.
Baik dari sudut rezeki pendapatan, pelepasan dari cengkaman hutang, kesihatan berpanjangan atau mungkin juga kebahagiaan dalam hidup.
Satu lagi isi penting dari wasiat Rasul ini ialah jangan mengeluh. Mengeluh juga memberikan tanda putus asa dan hilangnya nilai positif dalam diri. Sebagai orang mukmin sikap mengeluh perlu dijauhkan. Jangan sekali-kali meletakkan sesuatu yang negatif dalam diri kerana Allah amat luas rahmatnya dan akan membantu hambaNya.
.

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Jangan Berfikir Untuk Bersedekah

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim,
Semoga berada di bawah naungan Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saW., sabdanya: ”
Ada seorang lelaki berkata, “Aku hendak bersedekah malam ini.” Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan disedekahkannya kepada perempuan lacur. Esok pagi orang banyak mempercakapkan bahawa tadi malam ada pelacur yang diberi orang sedekah. Orang itu berujar, “Wahai, Allah! Segala puji bagi-Mu yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur. Aku akan bersedekah lagi.” Dia pergi pula membawa sedekahnya, lalu diberikannya kepada orang kaya.

Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang memberi sedekah kepada orang kaya. Lalu orang yang bersedekah itu berkata, “Wahai, Allah! Untuk-Mulah segala puji, kerana Engkau telah menjadikan sedekahku jatuh kepada orang kaya. Aku akan bersedekah lagi.”  Dia pergi pula membawa sedekahnya, dan diberikannya kepada si pencuri. Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang bersedekah kepada pencuri. Orang yang bersedekah itu pun berujar pula, “Segala puji bagi Allah yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur, kepada orang kaya, dan kepada pencuri.’
Kemudian orang itu didatangi malaikat seraya katanya :”Sedekah anda sudah diterima baik oleh masing-masing orang yang anda beri sedekah. Adapun perempuan lacur, semoga dia berhenti dari perbuatan melacur; kepada si kaya, semoga dia menyedari dirinya dan bersedekah pula; dan untuk si pencuri, semoga dia berhenti mencuri.”[HR Muslim]
Berdasarkan hadis ini jelas sekali kepada kita bahawa sedekah kita tetap diterima oleh Allah seandainya ada keikhlasan di atas apa yang disedekahkan oleh kita. Sesiapa pun yang menerima sedekah kita tidak menjadi masalah, walaupun mungkin pada pandangan nilaian mata manusia sedekah yang kita lakukan berlaku di luar adat manusia. Tetapi bila kita membaca mafhum hadis ini jelas sekali apabila kita timbul niat untuk bersedekah, maka jangan kita berfikir panjang kepada siapa dan berapakah jumlahnya yang akan kita keluarkan untuk bersedekah.
Lelaki yang disebut di dalam hadis ini tidak menghiraukan apa jua perkataan yang keluar walaupun sedekah yang dikeluarkan tidak menepati nilaian mata manusia, namun apa yang lebih penting ialah nilaian amal kebajikan di sisi Allah SWT.
Jadilah golongan yang memberi kerana kedudukannya jauh lebih mulia berbanding mereka yang menerima. Allah SWT amat memuliakan golongan yang memberi ini, tetapi seandainya mereka memberi tetapi dalam keadaan si penerima tidak redha dan merasa benci dengan pemberian dan sedekahnya kerana wujud kejian dan kata-kata yang tidak baik, maka adakah ianya mendapat rahmat di sisi Allah? Mudah-mudahan amal baik kita ini diterima oleh Allah SWT.